Wednesday, August 5, 2009

Kamu Sentiasa Layak Diuji


Mak kambing, maafkan saya. Saya nak ambil anak makcik untuk buat rendang ya, pinta seorang pengusaha ternakan kambing kepada seekor kambing betina tua, yang terpinga-pinga.
Perlukah beliau meminta izin si emak untuk menyembelih si anak?
Tidak perlu.

Hakikatnya, emak kambing, ayah kambing, anak kambing dan seluruh ahli keluarganya adalah milik pengusaha ternakan kambing tersebut. Mahu diambil si emak, mahu diambil si anak, kuasa mutlak ada padanya.
Namun kerana ihsan yang ada pada diri, penternak kambing sentiasa mengambil si kambing dewasa untuk jualan dan sembelihan. Sesekali sahaja keadaan sebaliknya berlaku. Tiada pertikaian, kerana seluruh kandang itu milik dirinya. Manusia yang memberi makan, minum, penjagaan, rawatan, perlindungan dan segala yang diperlukan oleh si kambing untuk hidup sejahtera.

RUBUBIYYAH ALLAH
Ada apa di sebalik kisah kambing?
Ia cara mudah untuk memahami kesan mengimani Rububiyyah Allah.

Mengimani bahawa Allah sebagai RABB, bahawa Dia itu Pencipta alam, Pentadbir alam, Pengatur alam dan Pemilik alam… adalah sari pati pengertian iman kita kepada Rububiyyah Allah.
Rububiyyah bukan iman muqaddimah yang remeh. Ia adalah iman asas, tempat di mana terbina dan berpijaknya kehambaan kita kepada Allah SWT. Sepatutnya, kesan mengimani Rububiyyah Allah inilah yang membawa kita kepada perbuatan menghambakan diri kepada-Nya, menunaikan tuntutan-tuntutan Uluhiyyah Allah, sebagai Ilah dan Keutamaan Tertinggi dalam hidup ini.
Namun, Iman warisan yang tiada nilai pilihan, mungkin tercicir akan hakikat ini. Dalam keadaan manusia beribadah kepada Allah, jiwanya gagal berhubung dengan Rububiyyah Allah.
Justeru dalam 'kesempurnaan' ibadah dan ritualnya, dia terlupa akan hakikat diri sebagai HAMBA.
HAMBA YANG LUPA

Hamba yang lupa dirinya sebagai hamba, tidak bersedia untuk menerima ujian. Dalam taatnya, dengan segera dia melatah mempersoalkan kewajaran dirinya diuji.
"Apa salah anak saya. Mengapa dia yang mati, bukan saya!" kata-kata manusia yang terlupa.
Terlupa bahawa dirinya, anaknya dan seluruh ahli keluarganya, adalah milik mutlaq Allah, Pemilik mutlaq alam ini. Terikatkah Allah kepada peraturan kita bahawa anak yang sepatutnya menghantar ibu bapa ke kubur dan bukan sebaliknya?
.

0 comments: