Monday, August 18, 2008

INILAH HARAPAN KAMI

Kami, barisan Cikgu Bitara Pendidik Bangsa, mahasiswa Universiti Penddikan Sultan Idris sangat prihatin dan peduli pada isu-isu kebajikan mahasiswa termasuk isu yang berfokus kepada sahsiah dan kebitaraan seorang pendidik yang akan menjadi role model kepada masyarakat. Keprihatinan kami adalah sebagai penyokong dan pendokong kepada pentadbiran universiti dan falsafah pendidikan negara untuk melahirkan insan yang seimbang dari segenap sudut iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial (JERIS).

Kami pada asasnya sangat komited dengan program-program universiti sekiranya pihak PENTADBIRAN terutamanya pihak HEP upsi memberi satu wadah iaitu program-program yang dapat membina kredibiliti bukannya membunuh kredibiliti kami berstatus mahasiswa.

Justeru itu kami menuntut agar pihak pentadbiran UPSI terutamanya pihak HEP untuk merealisasikan harapan dan impian kami selaku mahasiswa UPSI yang inginkan ketelusan dan menuntut keadilan.

Inilah harapan kami:
1.Menitikberatkan pembangunan intelek, sahsiah dan rohani.

2.Menguatkuasakan undang-undang kepada pelajar yang bersalah terutamanya dalam kesalahan yang mencemari nama UPSI.

3.Mengawal ketat sahsiah pelajar dan mengadakan program-program bermanfaat sesuai dengan status mahasiswa dan pendidik.

4.Tidak mengenepikan nilai moral dalam setiap perkara yang dilakukan.

5.Bersikap adil dengan semua mahasiswa upsi dalam setiap perkara.

6.Peraturan-peraturan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang boleh menyekat perkembangan kematangan mahasiswa. Bahagian hep haruslah mengkaji beberapa tindakann yang sedikit sebanyak membawa kepada kelesuan perjuangan mahasiswa. Majlis perwakilan pelajar jangan dijadikan majlis untuk mengiakan sahaja peraturan HEP ini umpama lembu dicucuk hidung.

Read more!

Monday, August 11, 2008

Gendang Perang Pilihan Raya Kampus Sudah dipalu

SYARAT-SYARAT KELAYAKAN SEBAGAI CALON DALAM PEMILIHAN
MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR (MPP) 2008/09

1. Sedang mengikuti program Ijazah Pertama (Sarjana Muda) secara sepenuh
masa di kampus.
2. Hendaklah mempunyai baki sekurang-kurangnya 2 semester.
3. PNGK tidak kurang dari 3.00.
4. Telah menduduki peperiksaan pertamanya di UPSI bagi kursus pengajian
yang diikutinya.
5. Tidak menghadapi prosiding tatatertib terhadapnya yang masih belum
selesai.
6. Tidak pernah didapati bersalah dalam apa-apa jua kesalahan oleh Pihak
Berkuasa Tatatertib Pelajar UPSI.
7. Masih memegang jawatan di Kolej Kediaman atau Persatuan dan Kelab
sebelum hari penamaan calon.
8. Mendaftar dan mengikuti kesemua 3 siri kursus kepimpinan yang akan
dianjurkan pihak JHEPA sebelum hari penamaan calon.


Paluan gendang perang pilihan raya kampus mulai kedengaran. Bahang panasnya mulai terasa. Portal-portal universiti menjadi medan pertembungan idea perbincangan pelbagai is. Bantah membantah dan sokong menyokong.Kalau dulu mahasiswa mengamalkan sikap berdiam diri dalam apa jua isu. Menjelang ogos bagaikan mendapat tonik penguat semangat mahasiswa mula menjadikan pelbagai medan maya untuk membicarakan isu kekampusan atau non-kekampusan.

Diatas adalah syarat-syarat kelayakan sebagai calon yang dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar UPSI bagi Pilihan Raya Kampus (PRK) tahun 2008. Terdapat beberapa syarat lama dan syarat baru. Menarik disini untuk kita perbincangkan syarat ketujuh dan kelapan. Kedua-duanya syarat baru yang digubal bagi sesi pilihan raya kali ini.

Pada syarat ke -7 antara lain bermaksud bahawa mahasiswa[1]) yang ingin bertanding mestilah memegang apa-apa jawatan pada tahun atau sesi pilihan raya kampus. Mafhum mukhallafah[2] lain bagi syarat yang ke -7 ini ialah mana-mana mahasiswa yang pernah memegang jawatan pada tahun atau sesi sebelumnya tetapi tidak memegang jawatan ini tidak dibenarkan bertanding di dalam pilihan raya kampus bagi tahun ini.Tindakan ini secara tidak langsung akan menyekat mahasiswa-mahasiswa yang berketerampilan dan mempunyai bakat kepimpinan.

Syarat ke-8 pula meminta kepada bakal-bakal calon untuk mengikuti kursus kepimpinan yang dianjurkan oleh pihak HEP. Syarat baru ini secara tersuratnya memperlihatkan keprihatin HEP bagi membentuk mahasiswa yang berkepemimpinan dan mahasiwa yang bitara[3]. Namun, sekiranya kita melihat implikasi tersiratnya maka kita akan melihat ketidaktelusan dan helah daripada pihak HEP untuk mengenal pasti calon selain calon aspirasi (baca : pembangkang[4]). Keadaan ini berlainan berbanding PRK lepas dimana identiti calon hanya dikenali pada hari penamaan calon. Hal ini juga dilihat memberi kebimbangan bagi calon-calon yang bertanding atas tiket persendirian (baca: bukan aspirasi) lantaran melihat kepada sejarah PRK lepas terdapat calon-calon yang diganggu [5]ketenteraman sosial mereka.

Selain itu syarat tambahan ini juga menunjukkan ketidakpercayaan pihak unversiti kepada para calon atau mahasiswa itu sendiri. Mungkin juga pihak universiti beranggapan kedapatan mahasiswa yang mencalonkan diri namun tidak memiliki ketrampilan. Sedangkan mana mungkin seseorang yang pasif dan tidak berketrampilan akan mencalonkan diri untuk sesuatu yang besar pada peringkat universiti iaitu Pilihan Raya Kampus. Tentunya para cerdik pandai di universiti pernah mendengar kata-kata daripada rektor Unversiti Paramida, Anes Baswedan

“ kalu kita berbicara tentang anak muda, kita tidak boleh menempatkan mereka pada lapangan lokal sahaja, tetapi mestilah pada lapangan global,sekurang-kurangnya asia,kerana mereka tidak dilahirkan untuk negeri sahaja,tetapi juga untuk dunia”


Seandainya mahasiswa UPSI atau universiti lainnya ingin dijelmakan sebagai golongan pemuda hebat ini, sewajarnya mereka tidak dikongkong dengan syarat-syarat yang tidak diperlukan seperti syarat diatas. Mereka perlu didedahkan dengan suasana yang sebenar atau sekurang-kurangnya mempunyai acuan pilihan raya yang sebenar.

Cikgu Prihatin
9.50 pm

“ Pro Mahasiswa pemangkin perubahan arus perdana”


[1] tidak disebut ‘pelajar’ supaya golongan yang membaca dapat berfikir seperti pelajar universiti
[2] Kaedah fiqh yang bermaksud kefahaman disebalik sesuatu perkara
[3] Istilah popular UPSI yang bermaksud tiada tandingan
[4] Mungkin pihak universiti terikut-ikut dengan pilihanraya umum yang melabelkan pihak selain pihak pemerintah sebagai pembangkang
[5] Menurut seorang calon pada PRK lepas terdapat pihak-pihak yang menelefon sehingga kerumah dan meminta ahli keluarga menghalang anaknya daripada bertanding

Read more!

Sunday, August 10, 2008

Konsep Keadilan dalam Teori Kecerdasan Pelbagai Menurut Perspektif


Pendahuluan
Keadilan dalam Islam tidak terbatas tentang soal pemerintahan, kehakiman dan hukumhakam
semata-mata. Ia sebenarnya mencakupi keseluruhan sudut kehidupan manusia
tanpa sebarang pengecualian. Keadilan juga sebenarnya bermula daripada pendidikan.
Pendidikan yang bersifat adil terhadap manusia dan sifat-sifat keinsanannya akan
melahirkan pula manusia yang adil terhadap seluruh makhluk di alam ini. Keadilan sering
kali dikaitkan dengan pembahagian sama rata. Tetapi Islam memandang keadilan bukanlah
pembahagian sama rata kerana pembahagian tersebut akan menyebabkan ada pihak
yang dizalimi kerana tidak mendapat haknya ataupun mendapat sesuatu yang bukan
haknya. Bukti keadilan jelas terpampang dalam Al-Quran dan As-Sunnah yang sepatutnya
menjadi rujukan manusia. Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa
menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi
menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu
terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan
keadilan, hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana
sikap adil itu lebih hampir kepada takwa, dan bertakwalah kepada
Allah. Sesungguhnya Allah maha mengetahui dengan mendalam akan
apa yang kamu lakukan”
(Al-Maidah:8).

Bukti kejayaan konsep keadilan boleh disaksikan dalam As-Sirah yang mencatat buktibukti
dan hasil-hasil kejayaan yang diraih kerana melahirkan generasi para Sahabat
yang unggul hasil daripada satu bentuk pendidikan yang adil. Tulisan ini cuba mengupas
tentang konsep keadilan pendidikan menurut perspektif Islam yang sebenarnya terlebih
dahulu diamalkan dalam pendidikan Nabi Muhammad s.a.w sebelum ianya ditemui oleh
sarjana-sarjana Barat.
Konsep Keadilan Pendidikan
Menurut Syed Muhammad Naquib Al-Attas (1992), keadilan pada umumnya adalah
tentang; (i) pengetahuan dan kebolehan untuk menempatkan yang betul dan wajar bagi
sesuatu benda atau manusia, (ii) kebenaran yang menentang kesalahan, (iii) cara atau
batasan, (iv) keuntungan kerohanian terhadap kerugian, dan (v) kebenaran terhadap
kepalsuan. Menurutnya lagi, dalam soal ilmu pula, manusia harus melakukan keadilan
terhadap ilmu itu sendiri, mengetahui batas kegunaannya, keutamaannya serta penempatan
yang sesuai dan wajar agar dapat menghasilkan sesuatu yang harmoni pada diri orang
yang memiliki ilmu. Berdasarkan penjelasan ini, keadilan bererti meletakkan sesuatu
DP. Jilid 7, Bil. 2/2007 Pendidikan Psikologi
67
sesuai pada tempatnya. Dalam agama Islam, sifat adil adalah amat hampir dengan sifat
takwa . Ini dibuktikan daripada petikan ayat yang dinyatakan di atas iaitu; “...hendaklah
kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada
takwa, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah maha mengetahui
dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan” (Al-Maidah:8).
Keadilan mesti dilaksanakan pada semua peringkat dan lapangan. Konsep keadilan dalam
pendidikan ialah mengajar dan mendidik para pelajar sesuai dengan kemampuan akal
dan stail pembelajaran mereka. Abdullah Nasih Ulwan (1988) telah menyenaraikan
beberapa hadith yang membuktikan Rasulullah s.a.w sebagai seorang yang adil dalam
menyampaikan ajaran Baginda. Sebuah hadith menyatakan;
“Kami golongan para nabi, telah diperintahkan untuk berbicara kepada manusia menurut ukuran akalakalmereka.”
Beliau juga memetik sebuah hadith mauquf dari Sahih Al-Bukhari yang
bermaksud;
“Berbicaralah kepada manusia dengan apa yang boleh mereka mengerti. Apakah kamu mahu mereka mendustakan Allah dan RasulNya?.”
Hadis-hadis seperti ini merupakan satu pengiktirafan terhadap konsep perbezaan individu
dalam pendidikan Rasulullah s.a.w.. Rasulullah s.a.w sebagai seorang pendidik yang
unggul telah menunjukkan keprihatinan Baginda kepada perbezaan tersebut. Sering
diriwayatkan bahawa apabila baginda diajukan dengan sesuatu soalan, jawapan baginda
berbeza mengikut diri individu yang bertanya. Sebagai contoh, Baginda pernah ditanya
oleh salah seorang Sahabat Baginda tentang apakah amalan yang paling disukai Allah?.
Baginda memberi jawapan iaitu solat dalam waktunya, apabila soalan yang sama
dikemukakan oleh Sahabat Baginda yang lain, Baginda menjawab iaitu berbuat baik
kepada kedua ibu bapa. Begitulah cara baginda menjawab mengikut keadaan dan situasi
individu yang bertanya. Yusuf Al-Qardhawi (2000) menegaskan perkara ini dengan
menyatakan bahawa sesuatu yang baik untuk seseorang individu tidak semestinya sesuai
atas orang lain. Menurutnya lagi, guru yang baik dan berkesan ialah guru yang dapat
menyampaikan ilmunya sesuai dengan tahap perkembangan pelajar. Beliau telah
menyenaraikan lima bukti yang menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w ialah seorang
pendidik yang mengambil kira perbezaan individu dalam menyampaikan pengajarannya
iaitu Baginda:
(i) memberi nasihat yang bersesuaian mengikut perbezaan setiap individu yang
meminta nasihat.
(ii) memberikan jawapan yang berbeza terhadap pertanyaan yang sama yang
disesuaikan dengan individu yang bertanya.
(iii) berperilaku dan bersikap berbeza mengikut kesesuaian orang yang bergaul
dengannya.
(iv) menyampaikan perintah dan hukum taklif yang disesuaikan dengan
kemampuan orang yang menerimanya.
(v) melaksanakan hukuman dan menerima sesuatu perangai seseorang tetapi
tidak pula menerimanya dari seseorang yang lain kerana wujudnya
perbezaan situasi.
Pendidikan Psikologi DP. Jilid 7, Bil. 2/2007
68
Dalam dunia pendidikan, apabila usaha mendidik dilakukan oleh orang yang bukan ahli
ataupun pelajar yang menerima didikan itu dididik mengikut cara yang tidak mampu
diikuti oleh pelajar tersebut, maka akan berlakulah ketidakadilan. Al-Qardhawi (2000)
menyatakan bahawa seseorang guru dikira berdosa jika dia mendidik setiap pelajarnya
tanpa mengambil kira sama ada ilmu yang disampaikan itu boleh difahami dan boleh
membawa manafaat kepada pelajar. Tegasnya, meletakkan sesuatu perkara sesuai pada
tempatnya akan memberi manfaat dan sebaliknya, jika perkara tersebut tidak seperti
yang sepatutnya, ia tidak mungkin membawa mudarat.
Keadilan Pendidikan dan Kepelbagaian Kecerdasan Manusia
Bidang pendidikan merupakan tulang belakang dalam menentukan keutuhan sesebuah
tamadun manusia. Pendidikan yang adil dapat memberi jaminan kepada kejayaan dalam
sesuatu sistem pendidikan. Pada tahun 1983, Howard Gardner dari Harvard University,
Amerika Syarikat telah mengutarakan suatu konsep yang berteraskan kepada ’pendidikan
yang adil’ melalui teorinya yang dikenali sebagai teori Kecerdasan Pelbagai (Theory of
Multiple Intelligences). Teori ini menghampiri konsep pendidikan Rasulullah s.a.w.
yang menghargai perbezaan individu. Menurut teori ini, setiap individu memiliki lapan
jenis kecerdasan iaitu kecerdasan verbal-linguistik, logikal-matematikal, visual-ruang,
muzikal, kinestetik, naturalistik, interpersonal dan intrapersonal. Gardner (2005) juga
membuat satu spekulasi tentang wujudnya kecerdasan yang kesembilan iaitu ‘existential
intelligence’ yang beliau gelarkan sebagai ‘intelligence of big questions’. Malahan
beliau sendiri tidak menghalang sesiapa yang ingin menambah sebarang kecerdasan lain
yang dirasakan sesuai seperti kecerdasan emosi dan spiritual.
Sehubungan itu, Teori Kecerdasan Pelbagai ini mempunyai beberapa kelebihan yang
tertentu. Antara kelebihan yang boleh dikenal pasti ialah; (i) membantu pelajar memahami
kemampuan (kecerdasan) mereka sendiri dan kemampuan orang-orang di sekeliling
mereka, (ii) memberi tunjuk ajar kepada pelajar-pelajar tentang menggunakan sepenuhnya
kekuatan (kecerdasan) dalam diri mereka dan membaiki kelemahan diri mereka, (iii)
membina keyakinan diri pelajar, dan (iv) menyediakan untuk pelajar satu pembelajaran
yang sukar dilupakan dan dengan itu juga membantu pelajar untuk belajar dengan lebih
baik. Dengan menghargai kekuatan dan kecerdasan yang dimiliki oleh individu tertentu,
teori ini jelasnya menuntut setiap individu pelajar diberi peluang untuk berjaya dalam
bidangnya yang tertentu. Inilah bentuk ’keadilan’ yang diperjuangkan oleh teori ini.
Sarjana-sarjana Islam menekankan bahawa sarjana-sarjana Barat bukanlah semuanya
’pengasas sebenar’ sesuatu konsep atau teori yang ada pada hari ini. Seyyid Hossein
Nasr (1994, dalam Rohana Kamaruddin, Kamisah Osman & Tajul Ariffin (2005)
menyatakan bahawa sebenarnya dunia Barat sering mengambil elemen-elemen tertentu
daripada sains Islam dan kemudiannya diolah semula dan dicorakkan mengikut ‘worldview’
Barat yang bersifat sekular dan mekanistik. Menurut Gamal (2003), Ibnu Khaldun
contohnya pernah terlebih dahulu menyentuh tentang beberapa jenis kecerdasan iaitu alaql
at-Tamyizi (discerning intellectual), al-aql at-Tajribi (experimental intellectual)
dan al-aql an-Nazari (speculative intellectual). Al-Aql at-Tamyizi ialah akal yang dapat
merasai benda-benda yang berada di luar daripada diri seseorang itu serta ciri-ciri benda
tersebut sehingga seseorang itu mampu pula mengambil sesuatu manfaat atau menghindari
DP. Jilid 7, Bil. 2/2007 Pendidikan Psikologi
69
bahaya daripada benda-benda tersebut. Al-aql at-Tajribi pula ialah kemampuan seseorang
membezakan yang baik dan buruk melalui pergaulannya sesama manusia serta dapat
membuat keputusan dengan pantas tentang perkara yang wajib dilakukan dan wajib
dihindari dalam pergaulannya. Manakala al-Aql an-Nazari pula ialah idea atau keinginan
yang tiada kaitan dengan perbuatan. Ringkasnya, Ibnu Khaldun berpendapat bahawa
manusia belajar melalui pengalaman, pancaindera dan proses akalnya.
Persoalannya sekarang ialah apakah cara terbaik bagi orang-orang Islam agar boleh
menerima Teori Kecerdasan Pelbagai oleh Gardner yang tidak menganut agama Tauhid?.
Sudah tentu sekali beliau tidak mampu mengaitkan setiap perkara yang ingin dikaji supaya
bersesuaian dengan konsep keimanan berlandaskan Islam. Penulis berpendapat tiada
salahnya kita menerima teori tersebut dan berusaha menambah baik sudut-sudut yang
tidak mampu diterokai oleh Gardner. Dalam soal ini Rasulullah s.a.w pernah menyatakan;
“Hikmah adalah sesuatu yang hilang dari orang beriman, di mana sahaja dia
menemuinya maka dialah yang lebih layak untuk mengambilnya”. Walaupun
daripada perspektif Islam Gardner bukanlah ‘pengasas sebenar’ konsep kepelbagaian
kecerdasan, namun tidak dapat dinafikan beliau telah berjaya meletakkan konsep ini
dalam bentuk yang lebih tersusun sehingga beliau hari ini diiktiraf sebagai ‘pelopor’
dalam teorinya.
Pembaziran modal insan dalam konteks pendidikan
Kegagalan kita mengenal pasti kecerdasan secara kontekstual akan memberi kesan
terhadap pengurusan modal insan dalam pendidikan negara. Dalam lain perkataan,
kegagalan ini mengakibatkan pembaziran sumber manusia. Pelajar-pelajar sekolah yang
berada dalam kelas-kelas tercorot tidak semestinya tidak cerdas. Malah mereka mungkin
mempunyai tahap kecerdasan yang lebih tinggi dalam domain tertentu berbanding rakan
mereka di dalam kelas yang lebih baik. Namun pelajar di dalam kelas tercorot tidak
dapat merealisasikan kebolehan mereka dalam sistem pendidikan hari ini yang
berorientasikan peperiksaan yang pada umumnya hanya memberi nilai yang tinggi
terhadap kecerdasan verbal-linguistik dan logik-matematik semata-mata sahaja. Sekiranya
pelajar seperti ini mempunyai peluang untuk menonjolkan kecerdasan-kecerdasan mereka
yang lain, pasti mereka juga boleh berjaya seperti pelajar lain. Alangkah malangnya
mereka ini yang terus menerus hanyut bertahun-tahun lamanya dalam arus pendidikan
yang tidak adil. Mereka adalah insan yang perlu ’dilayan secara adil’ supaya sama-sama
berpeluang untuk berjuang membangun diri dan negara.
Minat untuk belajar memainkan peranan yang amat penting dalam pembelajaran. Tanpa
’keadilan’, pelajar mungkin akan hilang minat untuk belajar. Dengan adanya minat, perkara
yang sukar akan sanggup dilalui dengan penuh ketabahan. Minat adalah modal terpenting
dalam diri manusia untuk belajar. Minat untuk belajar akan hadir dan timbul dalam diri
pelajar apabila mereka merasai bahawa mereka mempunyai harapan untuk menguasai
sesuatu kemahiran dan ada ruang serta peluang untuk berjaya. Pelajar yang kurang
minat atau kurang harapan untuk berjaya akan menunjukkan tingkah laku yang negatif
terhadap pembelajaran. Keterbatasan peluang dan ruang ditunjukkan melalui gejala
ponteng kelas dan ponteng sekolah. Kedua-dua masalah ponteng ini juga wujud apabila
ada daya tarikan lain yang lebih kuat berbanding daya tarikan budaya sekolah dan
Pendidikan Psikologi DP. Jilid 7, Bil. 2/2007
70
persekolahan. Pelajar merasa bosan menjalani sesi pembelajaran yang dirasakan kurang
bermanfaat kepada mereka.
Guru perlu mahir mengaplikasikan pendekatan kecerdasan pelbagai dan bertindak sama
ada secara individu mahupun secara kolektif. Guru seharusnya berupaya untuk
menghidupkan pembelajaran agar lebih kontekstual dengan persekitaran dan masa
hadapan pelajar. Guru juga mestilah mempunyai inisiatif untuk memanipulasi potensi
insan yang dididiknya untuk mencapai matlamat pendidikan . Fitrah manusia sememangnya
sukakan sesuatu yang menyeronokkan. Pelajar tentunya akan lebih berminat untuk datang
ke sekolah jika mereka beranggapan bahawa pelajaran itu menyeronokkan, berfaedah
untuk masa hadapannya dan bukan sebagai satu bebanan.
Jelas sekali bahawa kesahan dan kebolehpercayaan penilaian kecerdasan dalam konteks
yang betul perlu ditekan secara serius dalam pendidikan. Contohnya, pelajar yang cerdas
dalam teori pertanian belum tentu cerdas dan mahir dalam mengerjakan ladang pertanian
yang sebenar. Namun, ada juga manusia yang cemerlang dalam bidang pertanian walaupun
tidak pernah mendapat pendidikan formal dalam bidang tersebut. Begitu juga halnya dengan
orang-orang asli yang setiap hari memburu binatang di hutan pada umumnya lebih mahir
tentang flora dan fauna berbanding seorang mahasiswa yang mempelajari tabiat haiwan
dan persekitaran hutan secara pendidikan formal. Sehubungan itu, pihak yang
bertanggungjawab perlu menggunakan instrumen yang berupaya mengukur semua jenis
kecerdasan. Menurut Jasmine (1996), manusia yang normal akan mempunyai lebih dari
satu jenis kecerdasan. Malah ada juga manusia yang mempunyai semua jenis kecerdasan.
Mengaplikasi teori Kecerdasan Pelbagai di Malaysia
Menurut Gardner (1991), pendidikan yang berasaskan kepelbagaian kecerdasan lebih
berkesan berbanding pendidikan yang menekankan kepada dua kecerdasan asas iaitu
kecerdasan verbal-linguistik dan kecerdasan logik-matematik, yang secara langsung atau
tidak langsung telah lama ditekankan secara meluas di semua negara. Perkara ini berlaku
disebabkan pendidikan yang berasaskan kepelbagaian kecerdasan boleh mengembangkan
lagi bakat dan potensi pelajar. Jika selama ini kita hanya mementingkan kefahaman
tentang teori tersebut di dalam dewan-dewan kuliah untuk tujuan peperiksaan sematamata,
maka kini telah sampai masanya kita beralih kepada aspek pelaksanaannya pula.
Kalau di Barat telah ada projek yang mengaplikasikan teori ini atas sekolah-sekolah
tertentu, maka kita di Malaysia juga perlu mengadakan satu bentuk pengaplikasian yang
sama dalam konteks negara kita. Sejumlah dana yang mencukupi diperlukan untuk
membiayai projek ini dari semua segi bermula daripada pembiayaan tenaga pakar,
penggubalan kurikulum, prasarana, pelajar, guru dan sebagainya. Walaupun belanja yang
diperlukan adalah besar, namun kejayaan projek ini berpotensi menghasilkan insan yang
berkualiti tinggi yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.
Untuk maksud pengaplikasian ini, adalah dicadangkan agar pihak-pihak yang berkenaan
dapat:
1. Melatih bakal guru dan guru yang sedia ada di sekolah secara khusus tentang
teori Kecerdasan Pelbagai dan aplikasinya.
DP. Jilid 7, Bil. 2/2007 Pendidikan Psikologi
71
2. Mewujudkan kelas-kelas perintis di setiap sekolah untuk membiasakan guruguru
dan para pelajar dengan proses pengajaran dan pembelajaran yang
berasaskan teori Kecerdasan Pelbagai.
3. Mewujudkan pasukan khas di peringkat sekolah dan kementerian untuk
memantau dan menilai pelaksanaan dan keberkesanan kelas-kelas perintis
tersebut.
4. Menghasilkan satu model kurikulum dan sekolah contoh yang
mengaplikasikan teori Kecerdasan Pelbagai untuk menjadi panduan kepada
pelaksanaan secara menyeluruh.
Di Malaysia, ada usaha yang dijalankan oleh pengkaji-pengkaji tempatan untuk menghasilkan
satu instrumen yang kontekstual dengan negara ini. Profesor Madya Dr. Siti Rahayah
Ariffin dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengetuai satu projek khas dan
berhasil mencipta satu instrumen yang diberi nama MAMIT (Malaysian Adolescent
Multiple Intelligence Test). Instrumen ini mengukur sembilan jenis kecerdasan kesemuanya
termasuk kecerdasan spiritual. Walau bagaimanapun, instrumen ini tidak dikhususkan untuk
responden yang beragama Islam semata-mata, namun ia menjadi alat ukur yang penting
dalam konteks Pendidikan Islam di Malaysia. Instrumen tersebut setidak-tidaknya menjadi
perintis kepada satu instrumen baru pada masa akan datang yang boleh dikembangkan
khusus untuk diaplikasikan atas orang-orang Islam sahaja.
Penutup
Kita telah memperkatakan tentang pelbagai kecerdasan yang perlu diambil kira oleh
sistem pendidikan kita. Individu yang memiliki kecerdasan selain daripada kecerdasan
verbal-linguistik dan logik-matematik tidak boleh dipinggirkan sama sekali. Namun, kita
tidak boleh menafikan ketinggian darjat yang dianugerahkan Allah terhadap golongan
berilmu yang tentunya menguasai kecerdasan verbal-linguistik dan logik-matematik ini.
Kepentingan golongan ini termaktub dalam surah Al-Alaq yang bermaksud;
“Bacalah (Wahai Muhammad) Dengan nama Tuhanmu yang
menciptakan (sekalian makhluk), Dia menciptakan manusia dari
sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah,
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan
manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Al-Alaq:1-5)
Ayat di atas jelas menyatakan kepentingan kecerdasan membaca. Dalam ayat lain,
Allah menegaskan bahawa orang-orang berilmu diangkat beberapa darjat lebih tinggi
berbanding golongan yang kurang berilmu. Firman Allah yang bermaksud;
.
“Wahai orang-orang yang beriman! apabila diminta kepada kamu
memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka
lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala
halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun, maka
Pendidikan Psikologi DP. Jilid 7, Bil. 2/2007
72
bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang
beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu
pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan
(ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang
kamu lakukan”.
(Al-Mujadalah:11)
Dari segi ketaqwaan pula, Allah menegaskan sesungguhnya hamba-hambaNya yang
sebenar-benarnya takutkan Allah ialah golongan para ulama’.
“Dan demikian pula antara manusia dan binatang-binatang yang
melata serta binatang-binatang ternak, ada yang berlainan jenis dan
warnanya? Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (untuk
melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah
orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi
Maha Pengampun.”
(Fathir:28).
Ringkasnya, dalam mana-mana masyarakat di dunia ini, golongan yang sering dihormati
dan diberikan kedudukan yang tinggi ialah golongan yang berilmu, yang lazimnya
mempunyai kaitan dengan kecerdasan verbal-linguistik dan logik-matematik yang mereka
miliki. Begitu juga dalam kalangan para sahabat Rasulullah s.a.w.,mereka mempunyai
darjat-darjat yang berbeza-beza. Malah Allah menyatakan bahawa dalam kalangan para
nabi sendiripun terdapat perbezaan darjat yang tertentu. Semua ini disebabkan oleh
perbezaan ketaqwaan, ilmu dan pengorbanan yang mereka berikan. Maka kita boleh
simpulkan bahawa jenis-jenis kecerdasan juga membezakan darjat manusia bukan sahaja
sesama manusia tetapi juga disisi Allah swt.

Read more!

Friday, August 1, 2008

Surat terbuka untuk PM

Kepada Pak Lah, Perdana Menteri Malaysia Boleh.......

Hari nie tah hari berapa Pak Lah jadi PM kami
Memang dari dulu kami sokong sampai lani
Tapi hari nie, buka mata, senak perut anak bini......
Tengok Pak Lah habag minyak naik lagi

Memang kami tak tau pasai ekonomi
Yang tau semua Pak Lah ngan kroni
Tapi sampai bila nak jadi lagu nie
Dapat gaji habis tak berbaki

Pak Lah habag tak boleh buat apa
Nie semua ekonomi dunia
Kalau tak naik nanti dunia kata apa
Habis tu yang rakyat dok menderita, tak pa ka

Dulu Pak Lah kata nak jaga rakyat
Kunun Pak lah nak kerja sama sama dengan rakyat......
Nie dok nampak macam nak telan kederat
Dok nampak kami yang nak melarat

Pak Lah kata masalah rakyat nak ambik berat
Kunun tak mau tengok rakyat hidup melarat
Tapi kalau macam nie punya sarat
Darah rakyat pun boleh sejat

Kerajaan ada kata rakyat manja subsidi
Kunun asyik kerajaan saja dok bagi
Sapa kata kami rakyat tak pernah bagi
Tu...yang lima tahun sekali tu....sapa bagi??

Tiap kali naik harga, dok banding sini sana ??
Hampa tengok, kat Thailand lagi mahai dari kita......
Apa jenis depa punya kira
Awat tak ikut pulak Brunai punya harga

Brunai tak leh kira
depa punya minyak berlambak tak terkira
Awat, minyak Malaysia tak dak harga ka?
kalau tidak, tak kan jual minyak kita beli minyak depa

Ada Petronas pun tak leh buat apa
Ada duit sikit, dah nak mengada
Pi buat segala menara pagoda kembaq dua
Nak tunjuk, kami la kaya

Petronas kata kami tak tau apa
Kerajaan yang buat kira bicara
Kami ikut apa depa kata
Royalti jadi ehsan pun kami tak leh kata apa

Kunun dok habag petronas hak rakyat semua
Pakailah minyak petronas, nanti untung dapat kat kita
Nie, nak tanya la....tiap tahun untung beribu juta
Rakyat dapat apa ????? kudis buta....

Hari nie petrol naik, tahan la lagi..
Tengok pulak apa cerita esok pagi
Habis ikan, ayam, cabai sampai ke cili
depa pun sama tumbas naik sekali

Nanti ada la menteri tolong bercakap
Sapa naik harga dia nak pi tangkap
Sampai bila la dia nie nak ubah sikap
Ingat yang dok meniaga kat market tu heran kot dia punya cakap

Pak Lah mau renung nasib kami
Kais hari nie makan untuk kemarin pagi
Anak kecik pun dok ada lagi
Boleh hidup ka kami lagu nie

Dah tak larat nak tanggung cukai
Sini cukai, sana cukai
Dari tanah sampai ke pintu punya ada cukai
Dah sampai masa kot Pak Lah kena guna akai

Jangan dok ingat rakyat macam Pak Lah
Gaji berpuluh ribu hidup tak susah
Ada anak pulak bisnes sebelah sebelah
Dapat tender pun tak payah susah susah

Kami rakyat bukan macam tu
Malah la nie pun dah ada rebus siput babi dgan batu
Sedih sungguh ohhhh negara ku
Biar tak merdeka terus pun tak la kalau lagu tu

Dah sampai masa Pak Lah ingat
Selesai masalah rakyat cepat cepat
Nanti kot rakyat naik meluat
satu undi pun Pak Lah tak dapat

Cukup la sampai di sini
Tobat dah...aku tak mengundi BN kali nie
Parti Barang Naik pulak kot jadi depa lani
Kot ada sapa nak Barang Naik lagi undi la depa lagi...


Yang Benar,
Rakyat yang semakin tak larat

*AYUH MAHASISWA! TENTANG KERAJAAN ZALIM

MAHASISWA PROTES MINYAK NAIK!!!

Read more!