Sunday, December 21, 2008

PRO MAHASISWA UPSI SOKONG SULTAN AZLAN SHAH

Belajar di universiti adalah menjadi idaman bagi setiap pelajar. Malahan pelajar yang masih berada dibangku sekolah rendah sudah menyimpan impian untuk berada di universiti. Namun, apabila mereka berada di sini pastinya mereka hampa kerana universiti kini menjadi satu penjara jiwa kepada mahasiswa. Tiada kebebasan untuk menyampaikan idea, tiada kebebasan untuk mnyuarakan pendapat, dan mahasiswa terus disekat dengan peraturan-peraturan yang membantutkan daya kretiviti dan pemikiran.

Memetik beberapa titah oleh Sultan Azlan Shah selaku Pro- Canselor Universiti Malaya semasa istiadat konvokesyen ke -47 universiti itu, antara lainnya menyebut bahawa kerajaan yang bersifat anti universiti dan universiti yang bersifat anti kerajaan perlu dikeluarkan daripada minda dan pemikiran sempit sesebuah negara maju[1]. Manakala, universiti itu seboleh-bolehnya bebas daripada dominasi politik atau daripada dijadikan gelanggang percaturan politik. Baginda juga bertitah badan politik wajib sama-sama memikul tanggungjawab memastikan universiti tidak dicemari kegiatan politik berunsurkan kumpulan dan mengetepikan prinsip keilmuan.

Apa yang dititahkan oleh Sultan Azlan ini wajar diambil perhatian oleh setiap universiti bagi mewujudkan sebuah universiti yang berkualiti dan mempunyai kesegaran nilai ilmu yang sentiasa berkembang dan dinikmati semua pihak lantaran mahasiswanya yang tidak dihalang dalam menyuarakan sesuatu pendapat. Keadaan semasa memperlihatkan mahasiswa sentiasa disekat untuk menyampaikan idea mereka kerana dilihat bersalahan dengan apa yang diperjuangkan oleh pihak pemerintah[2].




PILIHAN RAYA KAMPUS

Sekatan terhadap pelajar ini makin jelas dilihat dalam suasana pilihan raya kampus. Selain syarat-syarat minimum oleh pihak kementerian, universiti juga membebankan mahasiswa yang mahu bertanding dengan syarat tambahan yang lain. Sebagai contoh, di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) syarat PNGK bagi calon-calon ialah 3.00 sedangkan syarat yang ditetapkan oleh kementerian pada asalnya ialah 2.75. Selain itu, calon perlu melalui kursus kepimpinan yang dianjurkan oleh HEP sebanyak 3 kali sebelum hari penamaan calon. Lebih menyedihkan tiada notis dikeluarkan bagi meyatakan bahawa borang untuk menyertai kursus kepimpinan itu telah dikeluarkan [3].

Bagi pelajar yang tidak bertanding dibawah tajaan HEP (baca : aspirasi) akan dilabel pembangkang. Keadaan ini sedikit sebanyak merencatkan budaya persaingan sihat dikalangan pelajar. Pelajar yang dilabel ini akan dipandang serong oleh masyarakat kampus. Bahkan, terdapat peristiwa pemulauan[4] terhadap calon persendirian akibat daripada labelan ini. Selain budaya label ini ketidaktelusan juga berlaku bagi menyekat pencalonan mahasiswa yang dilabel pembangkang. Contohnya peristiwa kehilangan borang oleh calon-calon Fakulti Sains dan Teknologi UPSI. Borang tersebut diserahkan kepada Dekan Fakulti untuk pengesahan. Namun, gagal dipulangkan semula oleh pihak fakulti kepada calon pada hari penamaan calon. Bahkan, mahasiswa yang bertanding selain daripada pihak aspirasi akan dimomokkan dengan isu kelambatan posting. Begitu juga akan berlaku sekiranya mahasiswa mengundi atau memenangkan calon-calon pro mahasiswa.

AUKU YANG MENYEKAT

AUKU digubal pada tahun 1971 adalah bagi menghalang kebangkitan mahasiswa pada akhir 60-an. AUKU adalah satu undang-undang yang menindas daripada segenap ruang (draconian Law) bagi mahasiswa. Apabila Menteri Pengajian Tinggi mengumumkan bahawa AUKU akan dipinda maka mahasiswa memberi respon positif terhadap pengumuman ini walaupun belum diketahui sejauhmana pindaan akan dilakukan. Hal ini kerana mahasiswa sememang telah lama mengharapkan perubahan terhadap ‘barang lama’ [5] ini.

Antara lain disebut bahawa pemimpin politik tidak kira kerajaan atau pembangkang dibenarkan memasuki universiti dengan syarat memberi ceramah mengenai isu atau perkara yang tidak berkaitan dengan politik atau yang berkaitan dengan akademik dan pengajian mahasiswa. Walaupun sebenarnya kerajaan sedia ada telah berulang kali menggunakan pentas Universiti untuk berkempen semasa Pilihan Raya Umum.

Dato’ Mohamad Khaled Nordin menyebut “ saya berharap biarlah tajuk program pengisian yang dijalankan oleh pihak IPT dan mahasiswa menjurus kepada kepentingan pengajian dan negara”. Selain itu beliau juga menambah AUKU masih tidak membenarkan mahasiswa menganggotai parti politik, tetapi boleh menganggotai mana-mana persatuan dan pertubuhan yang tidak berkaitan dengan politik

Pindaan yang akan melalui bacaan kedua di Dewan Rakyat dalam bulan ogos ini diharapkan tidak menjadi gimik politik bagi meraih undi mahasiswa bagi PRU ke- 13 pada 4 tahun akan datang. Atau sekurang-kurangnya pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 ogos ini.

Kerajaan yang bijak akan menjadikan universiti sebagai rakan kongsi dalam pembangunan negara- Sultan Azlan Shah



Cikgu Prihatin
1.30 am

“ Pro Mahasiswa pemangkin perubahan arus perdana”

[1] Malaysia adalah Negara membangun sepatutnya lebih mengambil perhatian terhadap perkara ini
[2] Samada kerajaan atau pentadbiran universiti
[3] Borang dikeluarkan pada 11 ogos 2008 tanpa notis pemberitahuan
[4] Terjadi kepada calon daripada Fakulti Sains Kognitif dan Kemanusian UPSI pada pilihan raya kampus tahun 2007
[5] AUKU sudah berusia kira-kira 30 tahun

0 comments: