Tuesday, March 24, 2009

Berfikir Kerana Allah


Maksud kerana Allah ialah ikhlas. Ikhlas memberikan sandaran terhadap reda Allah. Berfikir adalah aktiviti akal untuk sesuatu maksud.

Berfikir kerana Allah adalah menggunakan kekuatan akal dan daya taakulan untuk berfikir ke arah sesuatu yang Allah reda. Menggunakan akal untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah kemudian melakukan kajian dan penyelidikan berasaskan jiwa tadabbur yang tinggi menyebabkan hasil pemikiran membimbing kedekatan manusia dengan Penciptanya.

Menggunakan kekuatan akal untuk menyuburkan maklumat yang dipandu oleh asas-asas yang benar tentunya bakal membimbing manusia suka dan cintakan kebenaran. Menggunakan akal bagi membuat sesuatu pertimbangan yang menuntut keadilan dengan merujuk faktor pemikiran dan faktor syarak ia bakal mempedoman manusia ke arah natijah yang baik.

Oleh itu maksud berfikir kerana Allah adalah menghubungkan proses dan natijah pemikiran selari dengan pedoman dan petunjuk Allah. Akal saja tidaklah segala-gala. Akal yang dipandu oleh hikmah yang terungkap dalam al-Quran memberikan sumber yang memandu manusia berfikir. Daripadanya lahir kegiatan berfikir tidak semata-mata kerana berfikir tetapi berfikir yang selari dengan petunjuk Allah, tidak bercanggah dengan syarak dan mendapat reda-Nya.. Menjadi suatu tuntutan kepada para remaja untuk membina tradisi berfikir kerana Allah dan berhikmah kepada manusia. Ia bermakna para remaja harus ada asas-asas ilmu Islam yang baik. Ilmu ini akan memandu remaja dalam proses berfikir.

Ilmu Islam memberi remaja suluh supaya aktiviti akal tidak hanya berkembang begitu saja tanpa arah dan matlamat tetapi dipandu oleh sumber hikmah atau al-Quran supaya matlamat berfikir bakal memberi manfaat kepada yang lain.

Ramai remaja kini amat terpengaruh dengan pemikiran semasa yang bercorak popular. Tidak pula salah bagi remaja mengetahui asas-asas ilmu daripada sumber Barat dan Timur untuk maksud berbanding. Tetapi sebagai remaja Islam keupayaan berfikir yang dipandu oleh sumber hikmah atau wahyu menjadi terlalu penting supaya pemikiran berkembang dan subur atas maksud kebaikan dan manfaat. Inilah asas berfikir kerana Allah yang amat diperlukan oleh para remaja.

Remaja tentunya selalu berfikir tentang hiburan, cinta, makna kebahagiaan, kejayaan dan kecemerlangan, sahabat dan persaudaraan. Berfikir ke arah itu adalah sesuatu yang fitrah. Tetapi sebagai remaja Islam apakah sandaran berfikir tentang hiburan yang dikaitkan dengan reda Allah sekiranya hiburan difikir dan difahamkan sebagai alat mengisi kekosongan hati dan keceriaan diri secara nafsu-nafsi, menyubur keinginan yang menyebabkan hilang malu dan jati diri, pengagum kepada hiburan popular Barat hingga menjadikan remaja tidak berfikir ke arah memperkasakan budaya sendiri.

Remaja tentunya berfikir tentang cinta. Berfikir tentang cinta seadanya boleh menjerumuskan remaja ke arah cinta kenafsian dan haiwani. Remaja akan mudah terpengaruh dengan pemikiran cinta dangkal yang hanya sekadar ingin merasai kelazatan emosi yang sifatnya nafsu-nafsi lalu melampiaskan lafaz dan hajat yang mengheret remaja ke arah kerosakan.

Berfikir tentang cinta kerana Allah, membimbing remaja ke arah meletakkan Allah sebagai sumber yang tertinggi di mana puncak cinta kepada Allah membawa remaja kepada asas ketaatan dan kepatuhan kepada pedoman yang Allah berikan. Dalam pergaulan, Allah memberikan sempadan dan batasan kepada yang bukan mahram. Allah memberikan landasan syarak supaya cinta yang fitrah tersalur dengan jalan yang terarah. Mematuhi asas yang telah dipedomankan oleh Allah membawa kepada asas redanya. Dan percintaan yang terjalin atas reda Allah bakal membawa berkat terhadap kehidupan itu sendiri.

Begitu juga pemikiran ke arah kebahagiaan yang berasaskan nilai-nilai Rabbani membimbing remaja memahami maksud bahagia tidak saja dari sudut perasaan dan kenafsuan tetapi bahagia dalam erti kata yang sebenar dicapai dari sudut rohaniah yang tinggi melakukan kebaikan terhadap diri dan orang lain supaya asas kebahagiaan menepati jalan yang Allah reda.

*Kebahagiaan

Berbahagiakah hidup seorang remaja yang melakukan sesuatu tanpa mengambil kira reda Allah yang menyebabkan perlanggaran terhadap hukum-hakamnya dan akhirnya kebahagiaan hanya berbentuk kenafsian, terhasil sesuatu yang sifatnya sementara dan tidak membawa kepada kebahagiaan yang abadi. Kebahagiaan yang abadi menghubungkan remaja dengan Allah iaitu patuh akan pedomannya dan taat akan larangannya.

Oleh itu, berfikir kerana Allah memberikan remaja beberapa pedoman yang penting. Pertama, harus ada asas keikhlasan dalam membina jalan berfikir. Kedua, sandarkan berfikir kerana Allah dan hikmahnya kembali semula kepada remaja dan orang lain. Ketiga, pemikiran yang berasaskan ilmu tentang Allah supaya tanda-tanda kebesaran Allah menjadikan remaja kerdil dan kecil di sisi-Nya. Keempat, menjadikan reda Allah sebagai sumber kekuatan dalam berfikir supaya apa yang difikir oleh remaja sentiasa bersandarkan keselariannya dengan batas syarak yang dipedomankan oleh Allah. Kelima, harus ada rasa bersyukur dalam proses berfikir remaja kerana tanpa rasa syukur remaja mudah lupa akan diri dan boleh membawa kepada riak dan ujub.

Asas-asas di atas amat perlu bagi remaja dalam menjalankan kegiatan berfikir supaya kekuatan akliah yang dipandu oleh kekuatan nakliah bakal menemukan titik keseimbangan antara fitrah remaja dengan Sunnatullah atau ketentuan Allah. Allah mengatur alam ini di atas titik keseimbangan. Tanpanya planet dan bintang-bintang akan berlaga dan membawa kepada bencana.

Fitrah remaja mahukan kebaikan dan keindahan dalam hidup. Ia hanya mampu dicapai sekiranya sandaran kebaikan dan keindahan itu terlihat pada faktor alam yang menurunkan hujan, faktor air yang menghidupkan ikan-ikan, faktor bumi yang menghidupkan pohon-pohon, faktor udara yang membolehkan remaja bernafas. Itulah rahmat dan nikmat Allah yang di luar kemampuan manusia menciptakannya, dilimpahkan kepada kita untuk menikmatinya. Ia membimbing remaja berfikir betapa besarnya kuasa Allah yang membimbing remaja rukuk dan sujud mengakui kebesaran-Nya dan menjadikannya sebagai sumber amanah untuk kesejahteraan diri dan orang lain. .

0 comments: