Sunday, March 1, 2009

"PARADIGMA GURU-GURU AGAMA"


Tahun ini adalah tahun ke-tujuh MQU beroperasi. Walaupun tempoh itu bukanlah satu tempoh yang lama dan boleh dibanggakan, namun begitu rasanya tujuh tahun adalah satu tempoh yang melayakkan saya membuat khulasah mengenai suasana pembelajaran tahfiz & diniyah atau lebih tepat lagi, penilaian suasana pembelajaran di sebuah institusi pendidikan agama.
Diantara kepuasan yang saya perolehi didalam menguruskan sebuah ma'had tahfiz dan madrasah diniyah adalah melihat anak-anak di MQU membesar di dalam suasana pembelajaran Islam. Disiplin amat diberatkan dan walaupun kita tetap berhadapan dengan isu-isu disiplin pelajar, ianya tidaklah seteruk jika dibandingkan dengan masalah disiplin di sekolah-sekolah harian biasa.

Kebelakangan ini diantara kes-kes disiplin yang telah sampai ke pengetahuan saya ialah kes pelajar menyalah-gunakan talipon bimbit dan mengunjungi cyber cafe di luar waktu pengajian. Talipon bimbit telah dilarang penggunaannya di dalam perkarangan madrasah sejak pertengahan tahun lepas kerana terdapat kes pelajar menyalah-gunakannya untuk mendengar lagu-lagu yang melalaikan dan juga berpacaran melalui sms. Didalam kes-kes terbaru yang melibatkan pelajar yang melanggar peraturan ini, hukuman rotan umum telah dikenakan.

Tulisan saya pada kali ini sebenarnya bukanlah bertujuan untuk membincangkan masalah disiplin pelajar atau hukuman rotan. Sebagaimana yang telah saya sebutkan di dalam mukaddimah posting ini, tujuh tahun adalah satu tempoh yang membolehkan saya membuat khulasah kukuh tentang suasana pembelajaran di sebuah institusi pengajian pendidikan Islam. Perkara yang ingin saya ketengahkan di dalam blog ini ialah mengenai sikap dan tahap professionalisma orang-orang yang berpendidikan Islam. Perkara ini ada kaitan dengan contoh teladan yang dipamirkan kepada para pelajar dan mengapa tarbiyyah di sekolah agama kurang menjadi seperti yang diharapkan.

Umumnya anggota-anggota masyarakat yang membuat keputusan untuk menghantar anak-anak mereka menuntut di sekolah-sekolah agama ialah kerana keprihatinan mereka terhadap agama itu sendiri dan ingin agar anak-anak mereka menerima tarbiyyah Islam yang sempurna. Kefahaman umum masyarakat Islam di negara ini dan umumnya di seluruh dunia, ialah bahawa orang-orang yang menerima pendidikan agama Islam secara resmi adalah contoh teladan yang terbaik kerana mereka telah banyak menerima tarbiyyah semasa belajar.

Sebagai orang awam biasa pada peringkat awal mengasaskan MQU, andaian saya sama seperti kebanyakan orang. Kepercayaan yang begitu tinggi diletakkan diatas guru-guru agama ; samada guru-guru tahfiz mahupun guru-guru diniyyah agar tanggungjawab pengajaran dan tarbiyyah dijalankan pada tahap professionalisma yang tinggi. Namun begitu, yang didapati dari pengalaman dari setahun ke setahun, guru-guru yang rendah tahap disiplin dan professionalisma mereka adalah guru-guru agama. Bukan tidak ada guru-guru akademik yang tidak berdisiplin, (atau guru-guru agama yang cemerlang) tetapi jumlah mereka adalah kecil . Sikap-sikap negatif yang diperhatikan selama tujuh tahun samada di MQU ataupun dari pengalaman yang dikongsikan oleh rakan-rakan seangkatan yang lain diringkaskan seperti berikut:

KETEPATAN MASA
i. Beberapa tahun yang lepas kami menyedari terdapat segelintir guru membazir masa pelajar dengan datang lewat ke kelas. Untuk mengatasi perkara ini, saya memutuskan untuk meletakkan mesin rakaman masa (punch card). Tidak kurang guru yang merungut, kebanyakkannya guru-guru agama. Memang saya jangka dari awal golongon guru-guru tersebut yang akan banyak merungut kerana masalah guru-guru yang kerap lewat dan/atau menghilang dari kelas memang datang dari kalangan guru-guru yang berlatar-belakang berpendidikan agama.

ii. Kerap juga saya menerima aduan dari jiran tetangga yang mengatakan bahawa mereka mendapati guru-guru tidur ketika waktu mengajar didalam kelas. Saya bersangka baik dengan memberitahu hati saya bahawa guru-guru tersebut kuat amal-ibadat mereka diwaktu malam. Beberapa kali perkara ini diberitahu secara umum didalam mesyuarat guru tetapi apabila tidak menampakkan perubahan, maka guru yang terbabit dimaklumkan secara lisan.

MENGAJAR TANPA OBJEKTIF
Guru-guru Pendidikan Islam sebelum ini diketahui umum oleh warga guru di MQU kurang kesungguhan dan tidak teratur cara pengajaran mereka. Mereka kerap datang ke kelas tanpa persediaan rapi. Satu penyelesaian bagi mengatasi masalah ini, adalah dengan memasukkan silibus pendidikan Islam JAIS dan menetapkan agar semua pelajar menduduki pepereksaan umum PSRA. Seorang guru baru yang berpengalaman telah diambil dan dijadikan guru panitia pendidikan Islam dan sistem cerapan dan semakan buku rekod mengajar telah dikemaskinikan. Harapan kami, mudah-mudahan dengan adanya satu target dan sistem pemantauan yang jelas dikalangan guru-guru PI, ditokok dengan sistem penilaian pelajar yang berkecuali (PSRA), maka akan menghasilkan kaedah pengajaran yang lebih teratur. Namun begitu hasilnya yang sebenar masih lagi tidak boleh diputuskan kerana ini merupakan tahun pertama sistem ini diimplementasikan di MQU.

TIADA INISIATIF UNTUK KERJA LEBIH MASA
Guru-guru akademik MQU berebut sesama mereka untuk mendapatkan masa lebihan bagi mengadakan kelas tambahan kerana risaukan prestasi pelajar-pelajar mereka. Guru-guru agama kurang berinisiatif untuk melakukan perkara yang sama. Walaupun begitu bila di minta biasanya mereka tidak akan membantah.

KURANG INISIATIF UNTUK BELAJAR KEMAHIRAN BARU
Kebanyakan guru-guru agama sukar untuk mempelajari kemahiran-kemahiran baru yang sesuai dengan kehendak zaman seperti penggunaan komputer. Dalam banyak perkara, maklumat amat lambat sampai kepada mereka kerana cara-cara penyebaran maklumat yang terkini yang cepat dan lebih menjimatkan seperti penggunaan email tidak dimenafaatkan. Di MQU, kami telah berusaha membantu mendaftarkan email dan mengajar para guru cara-cara penggunaan email malahan menyediakan peralatan komputer dengan talian internet, namun guru-guru agama nampaknya tidak bersedia keluar dari paradigma lama. Guru-guru agama umumnya juga kerap meminta bantuan rakan-rakan lain menaipkan kertas soalan mereka didalam perisian komputer seperti word kerana mereka sendiri tidak mengambil inisiatif mempelajari cara-cara penggunaannya.

Jika sekiranya sikap tidak mahu mempelajari sesuatu yang baru diluar bidang pengkhususan dianggap sesuatu yang umum untuk semua orang, maka sebenarnya pengalaman saya berurusan dengan guru-guru agama mendapati didalam bidang pengajian Islam sendiri pun ada kalangan guru-guru agama tidak sedia membuat penambahan kemahiran. Berikut adalah beberapa kes untuk dikongsi:

i. guru-guru yang belajar di peringkat ulum tinggi sangat tidak berminat untuk terlibat dengan bidang mengajar peringkat kanak-kanak diperingkat umur bawah 12 tahun. Respon yang diberikan menggambarkan kebanyakan para ulama Malaysia menganggap mengajar kanak-kanak adalah sesuatu yang "tidak ada standard" dan tidak sesuai dengan status ulama' yang mereka pegang. Sikap ini berbeza dengan masyarakat barat (kafir) dimana terdapat ramainya ahli akademik yang membuat pengkhususan PhD. dan post graduate di dalam bidang pendidikan awal tahun (early years education);

ii. guru ulum syarie tidak mahu mengajar bidang tahfiz atas alasan tidak mahir. Di MQU sehingga ke hari ini belum lagi ada guru berlatar-belakang akademik yang ada asas al-Qur'an menolak untuk mengajar sesi tahfiz apabila ditawarkan. Mereka menunjukkan minat untuk belajar sesuatu yang diluar bidang mereka malahan apabila diberitahu bahawa tawaran itu adalah berserta dengan kursus dan bimbingan maka mereka yang ditawarkan terus menerima tawaran tersebut tanpa banyak soal. Dapat dilihat perasaan mereka yang amat bersyukur kerana diberi peluang sedemikian kerana merasakan inilah peluang untuk mereka membuat amal jariah yang sangat tinggi, (maksud hadith: Yang terbaik dikalangan kamu adalah mereka yang belajar dan mengajar al-Qur'an);

iii. berkaitan dengan perkara i., saya pernah menerima panggilan talipon dari seseorang yang bertanyakan tentang program cuti sekolah di MQU (bukan dari warga ibu-bapa MQU), beliau juga mengambil kesempatan bertanya lanjut tentang MQU dan didalam perbualan itu, individu tersebut (diketahui dari perbualan merupakan seorang alim) ada menyebut dengan nada rasa bangga diri sedikit bahawa beliau belajar ulum sehingga berjaya memperolehi beberapa sanad pengajian didalam tafsir, hadith dan sebagainya. Saya bertanya beliau selepas itu "kalau ustaz telah pun ada semua ilmu-ilmu tersebut, kenapa masih lagi hendak mencari tempat untuk mengajar anak ustaz?" dia hanya menjawab "saya tidak ada masa"; satu isu yang perlu orang-orang agama fikirkan dengan serious sekarang adalah telah mula terdapat banyak kes dikalangan orang -orang agama samada dari kalangan ulama' atau pendakwah yang begitu sibuk dengan mengajar dan berdakwah kepada masyarakat dan ummat, tetapi ahli keluarga mereka sendiri terabai sehinggakan terbentuk sikap dan akhlaq yang tidak mencerminkan kecantikan Islam. (Peringatan ini adalah amaran untuk diri SAYA sendiri)

TIDAK BOLEH BERKERJA BAWAH TEKANAN
Di MQU, sistem kerja guru-guru hampir sama dengan sistem kerja disekolah-sekolah biasa dimana para guru perlu membuat perancangan mengajar tahunan dan harian. Cerapan mengajar juga dibuat dari masa ke semasa. Lazimnya guru-guru agama khususnya yang tidak pernah didedahkan dengan sistem kerja sebegini merasa tekanan yang amat berat. Mentality mereka biasanya berkonsep habis mengajar habis tanggungjawab. Guru-guru yang paling ramai berhenti dengan notis 24jam dan membiarkan kerja tertunggak adalah guru-guru agama, tidak kira yang belajar diperingkat ma'had tahfiz, madrasah diniyah, pondok malahan lulusan universiti sendiri. Mereka memberi gambaran seolah tidak rasa bersalah membiarkan kelas tanpa ada guru sewaktu pengajian tahunan berjalan dengan rancak; sesuatu yang jarang berlaku dikalangan guru-guru akademik yang mana telah membuktikan kepada pihak kami, walaupun telah berhenti secara resmi, masih lagi berhubung dan bertanyakan perkembangan para pelajar dan cuba membantu di mana yang mereka mampu.

Ada juga kalangan guru-guru agama peringkat thanawi yang menyerahkan sahaja supaya buku rekod mengajar mereka dibuat oleh murid mereka sendiri. Bagi yang berusaha membuatnya sendiri pula, didapati hasil kerja buku rekod tersebut sangat rendah mutunya. Namun begitu tidak dinafikan, ada kalangan guru agama MQU yang buku rekod mereka sangat bermutu tinggi dan menandingi mutu buku rekod guru-guru akademik. Lazimnya mereka adalah guru-guru yang bersikap terbuka dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri.

MEMBAWA MASALAH PERIBADI DIDALAM KERJA
Guru-guru agama juga kerap memberi alasan-alasan peribadi seperti masalah keluarga dan sebagainya sebagai alasan apabila ditanya mengapa mereka memberi hasil kerja yang rendah mutunya atau mengapa mereka tidak dapat hadir mesyuarat atau aktiviti-aktiviti tambahan di madrasah. Kerap kali mereka memperbodohkan diri mereka apabila memberi alasan-alasan ini (yang agak remeh) didalam mesyuarat secara terbuka. Sebagai seorang pengurus di sebuah syarikat swasta, saya tahu bahawa saya banyak memberi kelonggaran kepada guru-guru di MQU khususnya guru-guru agama dibandingkan dengan cara pengurusan saya di pejabat. Sekiranya tahap pengurusan pejabat ataupun cara pengurusan sekolah contoh seperti sekolah bestari/kluster dibawa ke MQU, besar kemungkinan kebanyakan guru-guru agama tidak dapat menyesuaikan diri.

LEBIH BANYAK BERUSAHA MEMINTA KENAIKAN GAJI DARI BERUSAHA MEMPERBAIKI PRESTASI DIRI
Guru-guru agama lebih banyak berhujjah dengan pihak pentadbiran untuk menaikkan gaji mereka walaupun mereka sedar bahawa kebanyakan institusi agama yang mereka berkhidmat di dalamnya bergerak diatas dasar kebajikan. Ini bukanlah alasan bagi pihak pentadbiran institusi-institusi agama untuk mengambil kesempatan diatas mereka tetapi di dalam keadaan zaman dan suasana masyarakat Islam di Malaysia sebagaimana hari ini yang kurang mengambil berat tentang kebajikan sekolah-sekolah agama, tidak banyak yang boleh diusahakan untuk menaikkan taraf kehidupan mereka kerana ini melibatkan faktor kos. Hujjah yang mutakhir sekarang ialah guru-guru yang berkhidmat didalam j-Qaf hatta KAFA di negeri Selangor mendapat tangga gaji sekian-sekian. Perbandingan yang dibuat seperti membandingkan buah epal dengan oren i.e. sekolah-sekolah agama bawah kelolaan kerajaan dengan sekolah-sekolah agama biayaan sendiri. Semasa guru-guru KAFA menerima gaji yang rendah, tidak ada pula usul untuk meminta gaji dipotong supaya selaras dengan guru-guru aliran tersebut. Gaji sentiasa diminta naik tetapi prestasi tidak nampak peningkatan malahan ada guru yang baru berkhidmat dan belum diserap sepenuhnya lagi juga lebih sibuk bercakap tentang gaji dari membuktikan kepada pihak pentadbiran prestasi kerja mereka. Perkara ini hampir-hampir jarang berlaku dikalangan guru-guru akademik, paling kuat pun, mereka akan memberi notis di "HUJUNG" sesi pengajian tahunan dan meminta maaf tidak mampu untuk meneruskan perkhidmatan mereka.

TIDAK BOLEH DITEGUR
Rata-rata guru-guru agama (tahfiz & diniyyah) kurang berlapang dada apabila dibawa apa-apa isu berkenaan sikap dan budaya kerja mereka walaupun usaha untuk menutup aib dilakukan dengan cara memanggil mereka untuk berbincang secara tertutup. Lebih teruk dari itu, telah beberapa kali saya berhadapan kes anak-anak saya menjadi mangsa untuk dilepaskan kemarahan atau ketidak-puasan hati kerana menerima teguran dari saya. Antara perkara-perkara yang pernah berlaku adalah:

i. anak perempuan saya pernah dimarahi dan dileteri dengan perkataan-perkataan seperti bodoh, bebal dan kerap kali tidak disemak hafazannya. Perkara-perkara ini dimaklumkan kepada kami oleh rakan-rakan kelas anak perempuan saya yang prihatin, kerana anak perempuan saya sendiri tidak berani menceritakan kepada saya atau ibunya kerana takut dimarahi dengan lebih teruk lagi. Kebanyakan guru-guru tahfiz anak perempuan saya akhirnya berhenti atau diberhentikan dari MQU kerana kes-kes disiplin. Yang paling terbaru yang berlaku tahun lepas, guru tersebut berhenti dengan notis 24 jam kerana dikesan oleh pihak pentadbiran kerap keluar malam dari kawasan madrasah kerana berdating dengan teman lelaki, disebarkan cerita pula bahawa pihak madrasah khususnya saya memfitnah beliau dan saya sendiri dikatakan tidak suka padanya secara peribadi kerana cara beliau berpakaian. Saya hairan dengan alasan ini kerana (a) saya sendiri tidak pernah menegurnya tentang cara pemakaiannya memandangkan tidak ada isu melanggar peraturan pakaian (b) cara pakaiannya mirip cara berpakaian isteri saya sendiri! Anak perempuan saya yang terlibat didalam kes ini telah dikesan oleh kaunselor MQU memiliki tahap keyakinan diri yang rendah walaupun memperolehi 4A1B didalam UPSR. Hafazannya yang agak cepat pada peringkat awal, menampakkan perkembangan yang agak statik sejak dua tahun lepas.

ii. seorang anak lelaki saya pernah dirotan sehingga menampakkan kesan dibelakang tengkuknya. Saya telah menalipon guru anak saya dan bercakap secara baik. Guru tersebut memberi alasan bahawa anak saya yang paling bermasalah didalam kelas. Saya menyatakan bahawa saya menalipon sebagai ayah dan bukan di atas kapasiti saya sebagai pengetua. Guru tersebut diberitahu bahawa saya redha anak saya di rotan tetapi hendaklah menepati cara syariat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak madrasah. Kesan rotan dibelakang tengkuk sesuatu yang tidak boleh diterima tidak kira betapa nakal hatta jahat sekalipun seorang pelajar, tetapi memandangkan saya adalah pengetua dan mangsa merupakan anak saya sendiri, kes ini ditutup dengan sekadar pemberian nasihat kepada guru terbabit. Anak saya yang disebutkan didalam kes ini telah mula pandai membaca al-Qur'an dan buku kanak-kanak sejak berumur empat (4) tahun, berubah dari seorang pelajar yang ceria dan aktif , kepada seorang yang pendiam dan pasif dan agak mundur didalam beberapa mata-pelajaran khususnya hafazan dan Pendidikan Islam.

KESIMPULAN

Mungkin ada yang merasakan bahawa perkara-perkara ini berlaku kerana tekanan dan bebanan guru-guru agama kerana gaji yang rendah dan kurang insentif menyebabkan mereka menghadapi tekanan hidup yang berat. Saya merasakan tidak, kerana sebagai sebuah madrasah integrasi tahfiz-diniyah dengan akademik, sudah tentu jika gaji dan insentif adalah penyebab utamanya maka sikap negatif ini sudah pasti timbul dari guru-guru yang berlatar-belakang akademik juga.

Adakah penyebabnya terletak pada persekitaran, pengalaman dan budaya yang mereka contohi ketika mereka menimba ilmu Pendidikan Islam? Saya seperti anda, mungkin berat untuk menerima ini sebagai hakikatnya. Fenomena yang dilihat berlaku sekarang ini pun bukanlah suatu isu dizaman kegemilangan sekolah-sekolah pondok dinegara ini suatu masa dahulu. Ramai dari kalangan guru-guru agama aliran lama, nama-nama mereka masih begitu segar didalam masyarakat kita. Sifat-sifat mereka yang mulia khususnya QANA'AH dan kesungguhan dalam mencurahkan ilmu begitu menonjol dan diingati oleh mereka-mereka yang berkesempatan melalui zaman tersebut. Maka apakah punca yang menyebabkan "kebanyakkan" guru-guru yang berlatar-belakang berpendidikan agama HARI INI mempunyai sikap dan tahap professionalisma yang rendah? Perlu ada pihak-pihak yang berkelayakan membuat kajian terperinci mengenai perkara ini kerana kegagalan untuk mengetahui punca yang sebenarnya dikhuatiri akan menjejaskan perkembangan dan penghayatan Islam di dalam masyarakat melayu Malaysia di masa hadapan.

Sayugia saya menyebut disini, bahawa pendedahan ini di buat bukan bertujuan untuk mengaibkan individu-individu tertentu, para guru agama apatah lagi MQU sendiri. Sehingga ke hari ini MQU telah membuktikan bahawa pelajar-pelajar kami umumnya masih setanding dari segi kualiti hafazan, akademik, diniyyah dan juga akhlaq dengan ma'had tahfiz, sekolah dan madrasah lain hasil dari komitment barisan guru-gurunya dari kalangan guru tahfiz, akademik dan diniyyah. Perkara-perkara ini dipaparkan agar semua warga MQU khususnya guru-guru agama sentiasa peka dan tidak terjerumus di dalam zon keselesaan. Kita perlu sedar bahawa sebagai umat Islam yang dipilih untuk memikul amanah khusus dari ALLAH swt untuk perkembangan agamanya, maka perlu adanya anjakan paradigma pada diri kita agar kita sentiasa berterusan berusaha memperbaiki diri masing-masing.

http://qasimululum.blogspot.com/

0 comments: