Salamullahi ‘Alaikum
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Segala puji bagi Allah, Pentadbir sekalian alam,Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad rasul utusan Allah,kepada ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda seluruhnya.
Alhamdulillah, sudah masuk second-half ramadhan tahun ini. Pasti ada di kalangan kita semua semakin gembira kerana hari raya akan menjelang tiba, dan pastinya amat sedikit di kalangan kita yang bersedih untuk meninggalkan ramadhan yang akan pergi, kerana tidak pasti lagi sama ada akan bertemu lagi ramadhan tahun hadapan.
. Seperti lazimnya suatu perlawanan bola sepak, apabila masuknya second-half, para pemain akan lebih bersungguh-sungguh untuk mendapatkan gol bagi mencari kemenangan,tanpa menghiraukan rasa letih dan ‘pancit’. Hal ini disebabkan beberapa faktor. Pertama,ganjaran yang akan menunggu mereka jika mereka memperoleh kemenangan dan kedua, penghayatan mereka terhadap sukan ini amat tinggi, sehingga ada yang berkata sanggup mati demi bola (seperti yang ditonjolkan dalam filem Green Street Hooligans)
Inilah yang sepatutnya terjadi kepada seseorang yang mengaku dirinya sebagai MUSLIM dan MUKMIN. Tatkala ramadhan kian melabuhkan tirainya, masih ramai lagi umat Islam yang lalai dan leka untuk menunaikan ibadat seolah-olah ramadhan tiada erti baginya. Sedangkan dalam al-Quran Allah telah memberi jaminan ketaqwaan bagi mereka yang berpuasa dan menghayati ibadah. Amatlah rugi bagi mereka yang melepaskan peluang keemasan ini. Kita harus sedar, yang menentukan kedudukan hamba di sisi Allah ialah taqwa, dan yang menentukan destinasi kita di akhirat nanti juga adalah taqwa.
Apabila kita menghisab diri kita, barulah disedari mengapa susah untuk mendapatkan ‘taqwa’. PENGHAYATAN. Rupa-rupanya kita kurang menghayati ibadah yang kita lakukan. Kita hanya solat kerana Allah suruh, bukan lahir dari rasa bertanggungjawab untuk menunaikan solat. Kesannya, solat yang ditunaikan amatlah ‘ringkas’, seperti kata ustaz Hasrizal, ‘solat professional’. Dan sebab itulah juga puasa yang dilakukan sekadar mendapat letih dan dahaga.
Bagi mereka yang menghayati sesuatu perkara yang dilakukan, mereka akan berasa seronok dan suka akan perkara tersebut. Sebagai contoh, remaja yang sedang asyik bercinta. Tiap detik dan tiap waktu terbayang-bayang wajah orang tersayang. Rasa rindu membuak-buak di kalbu. Alangka baiknya jika rasa rindu kepada kekasih ini ditukar dengan rasa rindu kepada KEKASIH. KEKASIH inilah yang akan menunaikan setiap permintaan kita, yang akan memberi pertolongan di kala kita susah,berbanding dengan kekasih.
Satu lagi contoh ialah pelajar perubatan. Jika seseorang pelajar perubatan itu menghayati ilmu yang ditimba, maka akan semakin dekatlah dirinya dengan Allah. Jika seorang pelajar perubatan merokok atau meminum minuman keras, ini menunjukkan penghayatannya terhadap bidang ini adalah kosong. Inilah yang dikatakan ‘ilmu tanpa amal umpama pokok yang mandul’. Saya teringat kata-kata seorang ophthalmologist dari HUKM, Professor Dr.Muhaya, yang memberi ‘amaran’ kepada pelajarnya yang merokok,”You won’t be a doctor unless you quit smoking”.
Begitulah betapa pentingnya penghayatan dalam kita melakukan sesuatu perkara. Untuk menghayati sesuatu ibadah, perlu adanya persediaan. Sepatutnya sebelum ramadhan menjelang, kita sudah melatih diri kita dengan berpuasa sunat.
Sebelum kita menunaikan solat fardhu, kita tunaikan solat sunat terlebih dahulu dan sebaik-baiknya kita rancang surah apa yang akan dibaca semasa solat nanti. Luangkan sedikit masa untuk membuka kitab tafsir al-Quran untuk mengetahui maksud ayat yang akan dibaca nanti. Jika cara ini diamalkan, insya Allah solat yang akan didirikan akan lebih khusyuk. Apabila solat kita khusyuk, maka kemungkaran akan semakin jauh daripada kita.
Para sahabat juga dilarang oleh rasulullah daripada mengkhatamkan al-Quran dalam masa sehari dan tempoh paling singkat untuk khatam al-Quran adalah setiap tiga hari. Hal ini disebabkan rasulullah pentingkan penghayatan dan juga kualiti ibadah yang dilakukan.
Justeru, sementara ramadhan masih lagi di sisi, marilah kita semua meningkatkan penghayatan terhadap ibadah yang kita lakukan agar kualiti amalan kita semua ditingkat dari masa ke masa . Semoga amalan-amalan kita semua akan diterima oleh-Nya dan syurga-Nya nanti jadi destinasi kita semua di akhirat. Salam Lailatul Qadr.
.
Saturday, December 20, 2008
ILAL LIQA' YA RAMADHAN.....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment